berita rasuah bustersAllianz lancar e-tender bagi perangi rasuah

Allianz lancar e-tender bagi perangi rasuah

SHAH ALAM – Syarikat insurans terkemuka, Allianz Malaysia Bhd (Allianz) melaksanakan sistem e-tender bagi permohonan bengkel panel dalam usaha memerangi rasuah yang telah menjadi barah dalam industri insurans negara.

Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Allianz General Insurance Company (M) Bhd, Sean Wang berkata, pelaksanaan sistem terbaharu itu dapat memastikan ketelusan di dalam memilih panel yang akan memberi perkhidmatan kepada pelanggan.

Malah tegasnya, pelaksanaan sistem e-tender secara telus yang dilancarkan bermula tahun lalu itu juga mampu mengurangkan berlakunya isu rasuah di dalam industri insurans.

“Seakan sudah menjadi amalan di luar sana apabila hendak memasuki apa-apa tender, maka mereka perlu memberi sedikit ganjaran agar permohonan mereka diluluskan tetapi tidak di syarikat yang bernama Allianz.

“Ada yang bertanya sebelum ini, kepada siapa hendak diberikan duit untuk memasuki tender di Allianz? Apabila dengar sahaja pertanyaan seperti ini, saya akan terus halau dia balik. Kami tidak mahu ada orang seperti ini di dalam Allianz,” katanya menerusi sesi perbincangan meja bulat bersama media bertajuk ‘Crash, Boom Bang!’ pada Rabu.

Hadir sama CEO Allianz, Zakri Khir; Ketua Bahagian Tuntutan, Damian Williams dan Ketua Kumpulan Komunikasi, Shamala Gopalan.

Allianz muncul syarikat insurans pertama melaksanakan e-tender di negara ini bagi memilih panel yang bernaung di bawah syarikat nombor satu dalam segmen insurans motor.

Sinar Harian pada Selasa secara eksklusif melaporkan isu rasuah semakin berleluasa dalam industri insurans apabila nilai kerugian atau pampasan daripada tuntutan penipuan insurans kemalangan dianggarkan mencecah RM1 bilion setiap tahun.

Sindiket tuntutan palsu itu melibatkan pemilik bengkel, penilai kemalangan atau adjuster, pihak berkuasa dan orang awam yang juga merupakan mangsa kemalangan.

ARTIKEL BERKAITAN: Tipu insurans sampai RM1 bilion setahun

Mengulas lanjut Wang berkata, sebanyak 195 daripada 600 pemohon melalui sisten e-tender telah layak dipilih sebagai panel Allianz.

Kejayaan Allianz mengendalikan e-tender dengan sempurna menurut Wang telah berjaya menarik minat beberapa buah syarikat insurans untuk menggunakan sistem berkenaan.

Sementara itu, Zakri berkata, selain e-tender, Allianz turut menyediakan kumpulan penarik kereta sendiri iaitu melibatkan 40 buah trak penunda sebagai langkah menghalang berlakunya penipuan tuntutan kemalangan.

Malah menurut Zakri, Allianz turut melancarkan ‘Bike Rangers’ iaitu pasukan pertama akan sampai di tempat kejadian kemalangan terutama di bandar-bandar besar sebagai langkah melindungi mangsa daripada dihampiri oleh ‘ulat’ atau kumpulan penarik kereta.

“Semua ini diberikan secara percuma kepada pelanggan. Kami mahu mereka berasa selamat, tidak diganggu dari segi emosi atau fizikal kerana ketika ini pastinya mangsa akan trauma akibat kemalangan,” katanya.

Allianz juga menurut Zakri, akan memberikan jaminan selama dua tahun terhadap semua alat ganti.

“Di sini kita mahu menunjukkan kesungguhan Allianz untuk mengawal semua harga barang gantian di setiap bengkel yang menjadi panel kami. Selain semuanya tulen, pihak bengkel juga tidak boleh main harga,” katanya.

Dalam pada itu Zakri berkata, pihaknya tidak akan berkompromi sekiranya warga Allianz terlibat dalam aktiviti penipuan.

“Kami di Allianz sememangnya tekad untuk perangi amalan rasuah dan penipuan. Hak pelanggan adalah keutamaan kami. Untuk itu, kami di Allianz sentiasa berusaha memberi perkhidmatan baik kepada pelanggan,” katanya.

Terkini

Artikel Berkaitan

Leave a reply

Please enter your comment!
Please enter your name here