berita rasuah bustersAmalan rasuah makin canggih dengan transaksi maya

Amalan rasuah makin canggih dengan transaksi maya

SHAH ALAM – Perbuatan rasuah kini bersifat lebih tersembunyi kerana kebanyakan transaksi berlaku secara dalam talian atau maya berbanding pada 80-an yang menggunakan wang kertas atau cek fizikal.

Bekas Pengarah Bahagian Pendidikan Masyarakat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Datuk Abdul Samat Kasah berkata, keadaan itu lebih mencabar sehingga penguat kuasa perlu cekap menguasai teknologi maklumat seiring dengan arus semasa.

“Kalau zaman dahulu, kita berjaya kesan melalui bentuk fizikal seperti penyerahan cek atau wang kertas yang banyak, tetapi sekarang transaksi itu dilakukan secara dalam talian.

“Sewaktu zaman saya melakukan operasi tangkapan, kami pernah menangkap pesalah sedang memberi rasuah di tempat sembelihan babi, dalam perahu di tengah laut, di lorong sempit penagih dan berbagai lagi kawasan,” ujarnya.

Beliau berkata demikian ketika berkongsi pengalaman dalam program diskusi bertajuk ‘Rasuah: Jangan Memberi, Jangan Menerima’ secara dalam talian baru-baru ini.

Program berkenaan anjuran My Anti-Corruption Channel (MACC) atau MACC.fm.

Turut bersama menjayakan program tersebut ialah Profesor Adjung, Institut Alam dan Tamadun Melayu (ATMA) Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Datuk Chuari Selamat serta Dewan Bahasa Dan Pustaka (DBP).

Pada program itu, Abdul Samat turut berkongsi angka rasuah pada zaman kini melibatkan ratusan juta berbanding tahun 80-an dulu sewaktu beliau masih berkhidmat di SPRM.

“Kalau dulu RM3 juta mungkin dikira sangat besar untuk salah laku rasuah, namun kini angka sudah meningkat hingga ratusan juta. Tidak mustahil pada masa akan datang melibatkan angka bilion pula,” katanya.

Menjawab soal integriti dan etika kerja, beliau mengakui perlu ada anjakan permulaan yang besar dalam soal integriti bukan sahaja dengan tindakan mencegah salah laku rasuah.

“Mencegah rasuah adalah usaha akhir ibarat kita mencuci air kotor di muara sungai kita. Tetapi pembudayaan integriti ini adalah penjagaan daripada hulu supaya air dari hulu itu bersih, maka kita tidak lagi mencuci air kotor di muara sedangkan dari hulu masih kotor.

“Pembudayaan integriti tidak kiralah melalui pendidikan formal atau tidak formal, melalui kesusasteraan, media sosial, media elektronik ataupun cetak, perlu ada pembentukan nilai murni dan pembudayaan integriti,” katanya.

Abdul Samat turut mengajak masyarakat supaya menyematkan budaya integriti sebagai ‘pakaian jiwa’ kerana ia berkait rapat dengan agama, undang undang, adat resam dan budaya.

Dalam pada itu, Chuari turut bersetuju dengan ulasan Abdul Samat mengenai pembudayaan integriti.

Beliau berkata, pembudayaan integriti boleh disemai seawal peringkat sekolah rendah hingga ke institut pengajian tinggi (IPT).

“Anjurkan pertandingan sajak, pantun atau puisi yang berkisarkan tolak rasuah atau budayakan integriti secara berterusan di pelbagai platform. Ini secara tidak langsung akan tersemat dalam jiwa masyarakat,” ujarnya.

Terkini

Artikel Berkaitan

Leave a reply

Please enter your comment!
Please enter your name here