More

    ‘Jadikan peperangan menentang rasuah sebagai jihad’

    SHAH ALAM – Kerajaan Selangor di bawah kepimpinan Menteri Besarnya, Datuk Seri Amirudin Shari digesa menjadikan peperangan menentang rasuah sebagai satu jihad.

    Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Meru, Mohd Fakhrulrazi Mohd Mokhtar berkata, ia berikutan penahanan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) ke atas beberapa individu termasuk bekas Yang Dipertua (YDP) Majlis Perbandaran, pegawai daerah serta kakitangan yang bertugas di negeri ini.

    Menurutnya, kerosakan akibat jenayah rasuah amat besar dan memberi kesan jika dibiarkan.

    “Ia boleh merosakkan masyarakat dan akhirnya boleh meruntuhkan sesebuah negara.

    “Rakyat semakin khuatir akan situasi di mana mereka yang terlibat dengan gejala rasuah adalah kakitangan kerajaan dan budaya ini nampaknya menjadi semakin parah.

    “Saya gesa pihak pendakwa raya meneruskan usaha dalam proses perundangan dan mendakwa mereka yang terlibat demi masa depan negara,” katanya menerusi satu kenyataan kepada Sinar Harian pada Sabtu.

    Beliau sebelum itu menjunjung kasih titah Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah di atas keprihatinan serta kebimbangan dizahirkan baginda terkait peningkatan membabitkan kes-kes rasuah di negeri Selangor.

    Sebagai ADUN Selangor, beliau mendukung sepenuhnya gesaan Sultan Selangor agar gejala rasuah di negeri Selangor dibanteras.

    “Siasatan perlu disegerakan, langkah membanteras rasuah juga dipertingkatkan bagi menyelamatkan sektor perkhidmatan awam dan masyarakat daripada dirosakkan oleh gejala yang semakin menjadi budaya dan membarah.

    “Bagi memastikan rasuah tidak merebak menjadi penyakit masyarakat, saya memohon kerajaan Selangor jadikan peperangan menentang rasuah sebagai satu jihad,” katanya.

    Latest articles

    Related articles

    Leave a reply

    Please enter your comment!
    Please enter your name here