More

    Khidmat orang tengah kerana kepentingan antara bibit awal rasuah

    SHAH ALAM – Khidmat orang tengah bagi memperolehi sesuatu yang berkepentingan boleh dianggap sebagai bibit-bibit awal berlakunya rasuah.

    Pengerusi Syura Wadah Selangor, Nik Mohd Yusoff Nik Ismail berkata, ini kerana individu berperanan sebagai orang tengah kadang kala mempunyai strategi yang sangat licik.

    “Saya tidak katakan semua tetapi jarang-jarang ia berlaku dan bahagian yang diperoleh mungkin lebih banyak daripada penerima akhir,” katanya kepada Sinar Harian pada Khamis.

    Menurutnya, golongan perasuah adalah kelompok yang terlalu mencintai perihal keduniaan sehingga tidak ada langsung perasaan takut untuk mati.

    “Sebenarnya perasuah tahu bahawa rasuah merupakan satu kesalahan yang ditegah semua agama tetapi mereka lebih memikirkan keuntungan peribadi yang berlipat ganda.

    “Dewasa ini terlalu ramai yang mengamalkan rasuah kerana bagi mereka itu adalah jalan pintas untuk mendapatkan wang dan kedudukan.

    “Saya berpandangan, individu atau pihak yang mengamalkan rasuah ini mempunyai kualiti diri yang rendah, tidak bermoral dan kurang berakhlak terutamanya jika beliau seorang pemimpin,” kata beliau.

    Mengulas lanjut, beliau yang juga Pengerusi Forum Ekonomi Manusiawi itu berkata, mereka mungkin menunaikan tanggungjawab sebagai muslim seperti bersolat tetapi nilai agama tidak dihayati dengan sedalam-dalamnya dan sekadar ritual semata-mata.

    “Pemberi dan penerima rasuah juga kurang memahami apa itu misi kehidupan kerana jika mereka faham fokus kehidupan ini pastinya tidak akan terlibat dengan rasuah,” katanya.

    Pada masa sama, beliau menyokong usaha besar Sinar Harian menggerakkan kempen Rasuah Busters.

    ‘Tahniah atas usaha untuk menghapuskan rasuah. Rasuah di negara ini boleh diibaratkan Covid-19 kerana dikhuatiri akan kekal lama.

    “Namun, saya berasa masyarakat kita masih boleh diselamatkan daripada belenggu rasuah kerana mereka tidak pernah menganggap aktiviti tidak sihat ini sebagai amalan biasa,” ujar beliau.

    Latest articles

    Related articles

    Leave a reply

    Please enter your comment!
    Please enter your name here