berita rasuah bustersPantau penggunaan gas oksigen tulen, pesakit lebih memerlukan

Pantau penggunaan gas oksigen tulen, pesakit lebih memerlukan

SHAH ALAM – Kerajaan diminta untuk lebih peka dan mengehadkan penggunaan bekalan gas oksigen dalam sektor pembinaan tatkala beribu-ribu rakyat dilaporkan meninggal dunia akibat kekurangan bekalan tersebut di hospital awam.

Ahli Jawatankuasa Pusat Parti Sosialis Malaysia (PSM), Sharan Raj mendakwa, sektor pembinaan negara dilihat seakan-akan tidak mempedulikan situasi getir tersebut dan hanya mementingkan diri apabila terus menggunakan gas oksigen tulen untuk aktiviti kimpalan dan pemotongan.

Dia yang juga Setiausaha PSM Melaka berkata, penggunaan gas oksigen dalam sektor pembinaan adalah tidak wajar ketika mana hospital awam negara berhadapan kekurangan bekalan gas oksigen dan pesakit kritikal memerlukannya.

“Pembinaan hartanah mewah, lebuh raya dan pusat beli-belah boleh ditunda kerana nyawa manusia lebih bernilai daripada keuntungan besar yang cuba diraih oleh syarikat pembinaan,” katanya kepada Kru Rasuah Busters pada Khamis.

Sehubungan itu katanya, kerajaan persekutuan perlu segera menutup semua sektor pembinaan sehingga akhir tahun untuk mengelakkan kekurangan bekalan gas oksigen di hospital.

Jelasnya, modus operandi bekalan gas oksigen untuk sektor kesihatan adalah hampir sama dengan bekalan gas masak rumah apabila tangki gas oksigen akan dipungut untuk diisi semula sebelum dihantar ke hospital.

Menurutnya, pengeluaran tinggi gas oksigen tulen oleh industri tidak berguna tanpa tangki gas oksigen yang mencukupi.

“Bahagian dalam tangki oksigen taraf pembinaan perlu dibersihkan daripada kotoran untuk dijadikan tangki oksigen taraf kesihatan.

“Proses ini dapat dilakukan dalam masa beberapa jam dengan peralatan yang tepat,” ujarnya.

Namun begitu katanya, bekalan gas oksigen tulen kepada perkhidmatan kecemasan seperti bomba, Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) dan Jabatan Pertahanan Awam Malaysia (JPAM) tidak harus diganggu.

Jelasnya, sektor perkhidmatan kecemasan perlu menggunakan gas oksigen tulen untuk pemotongan besi untuk menyelamatkan manusia yang terjerat dalam kenderaan ketika kemalangan.

Terkini

Artikel Berkaitan

Leave a reply

Please enter your comment!
Please enter your name here