berita rasuah bustersSikap pemimpin penting dalam memerangi rasuah di Malaysia

Sikap pemimpin penting dalam memerangi rasuah di Malaysia

SHAH ALAM – Selagi pemimpin masih bergelumang dengan sifat mazmumah seperti salah guna kuasa dan bermusuhan sesama bangsa, selagi itulah negara akan dibelenggu jenayah rasuah.

Setiausaha Agung Majlis Perundingan Melayu (MPM), Datuk Dr Hasan Mad mendakwa, sehingga hari ini kerajaan dilihat mahu lepas tangan dalam memerangi isu korupsi dalam negara.

“Ini kerana amalan rasuah ini dikatakan berlaku hampir di semua kementerian.

“Jadi bagi saya, selagi kerajaan masih bertolak ansur, jenayah tersebut akan berlaku.

“Rakyat sahaja yang beria bising tetapi kerajaan tidak respons. Sehingga hari ini, tidak ada satu pun kementerian yang keluarkan kenyataan benci jenayah rasuah, kenapa?” katanya kepada Sinar Harian.

Dalam pada itu, Hasan berkata, pada 28 Februari 2015, semua pemimpin Melayu yang diwakili bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak melafazkan tujuh amanat pemimpin yang harus dijunjung khusus umat Melayu.

Tambahnya, amanat tersebut perlu dijadikan peringatan yang kekal dalam ingatan semua pemimpin Melayu dengan menyuburkan nilai-nilai mahmudah dan menjauhi sifat mazmumah.

“Pemimpin hanya melafazkan dan tidak membuat komitmen pun dari tarikh 2015 yang mana Barisan Nasional jatuh, naik Pakatan Harapan seterusnya Perikatan Nasional pun tiada.

“Maknanya pemimpin tidak mengambil serius mengenai amanat pemimpin sendiri dan sehingga hari ini sifat mazmumah itu makin tebal dalam kalangan mereka,” ujar Hasan.

Jelas beliau, jika hanya rakyat yang berusaha sehabis baik tetapi kerajaan bersikap sambil lewa maka usaha tersebut hanya sia-sia.

“Takkan nak suruh rakyat memberontak di jalan raya, baru pihak kerajaan bertindak, baru nak insaf. Ini semua perlu bermula dengan pemimpin. Itu janji mereka kepada rakyat,” tegas beliau.

Terkini

Artikel Berkaitan

Leave a reply

Please enter your comment!
Please enter your name here