berita rasuah bustersSPRM disaran perkenal undang-undang khusus bagi penjawat awam

SPRM disaran perkenal undang-undang khusus bagi penjawat awam

SHAH ALAM – Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) disaran memperkenalkan undang-undang khusus termasuk hukuman kepada penjawat awam bagi mengekang budaya rasuah di negara ini.

Presiden Pemerhati Rasuah Malaysia (MCW), Jais Abdul Karim berkata, pendekatan baharu yang lebih dinamik perlu dilaksanakan Jabatan Audit Negara (JAN) melibatkan isu audit prestasi, selain melaksanakan audit rutin berkala.

Menurutnya, JAN perlu lebih proaktif dengan penilaian lebih mendalam terhadap sistem kawalan dalaman institusi tersebut bagi setiap agensi, jabatan atau anak syarikat.

“Kaedah pusingan audit juga perlu diberikan perhatian terhadap dapatan audit yang lepas tertumpu kepada ‘hotspots’ yang pernah dikesan.

“JAN perlu lebih peka dengan meningkatkan strategi audit dan mewujudkan pendekatan atau program lebih berkesan bagi membanteras tadbir urus yang buruk dan perlakuan rasuah,” katanya dalam satu kenyataan pada Khamis.

Jais berkata, rekod SPRM membuka kertas siasatan tetap menjadi antara yang terpenting.

“Rekod ini akan disemak setiap kali penjawat awam tersebut dinaikkan pangkat atau memohon sesuatu anugerah.

“Walaupun hanya tindakan tatatertib tetapi ia cukup untuk memberi pengajaran kepada pelaku kesalahan tersebut,” kata beliau.

Pada masa sama, beliau berkata, berdasarkan perspektif lain, SPRM perlu meneliti semula peruntukan dan mengatasi isu-isu teknikal yang berlaku.

“Kita tidak mahu setelah banyak masa, tenaga, usaha dan bilangan pegawai SPRM yang ramai digunakan, namun keefektifan dan produktiviti dalam menguatkuasakan peruntukan sedia ada dipersoalkan umum.

“Jika ia adalah kesalahan di bawah Akta SPRM, maka akta ini perlu diperkemaskan segera dengan peruntukan yang lebih relevan.

“Jika tiada peruntukan di bawah Akta SPRM, perlulah dilihat di bawah undang-undang jenayah Kanun Keseksaan yang berkemungkinan ada keterangan menunjukkan berlaku kesalahan seperti pecah amanah, penipuan, pemalsuan dan di bawah kesalahan penjawat awam dan peraturan lain, tegasnya.

Di bawah Kanun Keseksaan, katanya, ia lebih mudah untuk dituduh.

“Pastinya semua tangkapan yang melibatkan kes kepentingan awam perlu ada keputusan yang jelas sama ada didakwa atau dibebaskan. Pihak SPRM perlu menjelaskan kepada warganet mengenai kes-kes tersebut,” katanya.

Terkini

Artikel Berkaitan

Leave a reply

Please enter your comment!
Please enter your name here