KLUANG – Kira-kira 2,500 penduduk terputus hubungan sejak tiga hari lalu selepas jalan di Kampung Bentong ke Nyior di sini dinaiki air sejak Ahad.
Ketua Kampung Bentong, Tumin Tukicoh, 66, berkata, keadaan tersebut menyebabkan tiada kenderaan dibenarkan menggunakan jalan tersebut kerana berisiko.
“Penduduk menggunakan jalan alternatif lain yang jauh sedikit untuk keluar. Laluan berkenaan dinaiki air selepas air Sungai Melantai berdekatan melimpah,” katanya ketika dihubungi pada Selasa.
Beliau berkata, biasanya air akan surut dalam masa tiga hari tetapi kali ini mengambil masa yang lebih lama kerana berlaku banjir termenung.
Selain itu menurutnya, ketika ini hanya tiga rumah di kampung berkenaan dinaiki air banjir.
Difahamkan sebelum ini, kebiasaannya banjir akan berlaku sekitar Disember atau Januari setiap tahun di Kampung Bentong.
Sementara itu, Setiausaha Kerajaan Negeri, Tan Sri Dr Azmi Rohani berkata, mangsa banjir di Johor kini berjumlah 7,438 penduduk melibatkan 2,103 keluarga di 56 pusat pemindahan sementara (PPS) setakat jam 1 tengah hari Selasa.
Beliau yang juga Pengerusi Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri Johor memberitahu, Kota Tinggi masih menjadi daerah paling teruk terjejas banjir di Johor yang merekodkan seramai 4,676 penduduk daripada 1,280 keluarga ditempatkan di 26 PPS.
“Daerah kedua terjejas teruk adalah di Kluang yang melibatkan 1,591 penduduk (493 keluarga di 13 PPS) diikuti Johor Bahru 988 penduduk (281 keluarga di lapan PPS).
“Di Kulai pula melibatkan 86 penduduk (23 keluarga di sebuah PPS); Segamat 75 penduduk (21 keluarga di empat PPS) dan Pontian 22 penduduk (lima keluarga di sebuah PPS),” katanya dalam kenyataan pada Selasa.Â
​Â