BISA tangga pertama bina industri peniagaan bebas rasuah

0
193

SHAH ALAM – Bisnes Sinar Harian Awards (BISA) merupakan tangga pertama untuk sektor perusahaan kecil dan sederhana (PKS) membina industri perniagaan bebas rasuah dan akan berkembang berlandaskan nilai integriti pada masa hadapan.

Ketua Pegawai Eksekutif Yayasan Sinar Untuk Malaysia (#RasuahBusters), Nurhayati Nordin berkata, kewujudan BISA bakal membuktikan permulaan baharu kepada PKS bahawa budaya perniagaan yang terbina daripada nilai kepercayaan, kerjasama, toleransi dan kepimpinan efektif, merupakan prinsip asas sebuah kejayaan yang holistik.

“Usaha Sinar Harian melalui pengiktirafan BISA ini bukan biasa-biasa. Ia adalah pengiktirafan Malaysia terhadap pencapaian standard tata kerja yang tidak semata-mata berteraskan penyempurnaan indeks persepsi utama (KPI) dan polisi syarikat, tetapi turut mengiktiraf kejayaan syarikat yang berjaya membawa pembinaan karakter yang mewujudkan profesionalisme dan standard kualiti sesebuah syarikat.

“Kriteria seperti merangka pelan pembangunan sumber manusia yang berintegriti dan komprehensif untuk mengekang gejala rasuah adalah motivasi penting kepada setiap ahli perniagaan agar kerangka dan perancangan perniagaan didasarkan kepada nilai yang membawa kejayaan yang barakah dan bermaruah, bukan semata-mata ringgit dan sen,” katanya dalam kenyataan pada Rabu.

Ujar Nurhayati, BISA juga merupakan pengiktirafan nilai tatakerja yang didasarkan kepada kompas disiplin dan watak moral sesebuah perniagaan yang memberi inspirasi kejayaan.

Menurutnya, etika kerja berteraskan akauntabiliti, disiplin, ketelusan dan daya tahan menjadi prinsip yang mendasari para pemenang anugerah BISA kali ini.

“Karakter kerja dengan komitmen nilai tinggilah yang sebenarnya telah membentuk budaya tingkah laku kerja yang menjamin kemenjadian perniagaan,” ujarnya.

Dalam pada itu, beliau berkata, sokongan moral dan motivasi melalui pengiktirafan berkenaan juga dilihat mampu melonjakkan potensi dan tatasusila kerja peniaga-peniaga PKS.

“Dengan wujudnya 1,226,494 perusahaan mikro, kecil dan sederhana (PMKS) pada tahun 2021 yang menyumbang sebanyak 97.4 peratus daripada keseluruhan pertubuhan di Malaysia, Rasuah Busters melihat potensi PKS sebagai sektor utama ekonomi negara yang bakal menjunjung wadah integriti, bersih daripada rasuah dengan nilai moral, karakter dan bangsa.

“Maka akan lahirlah perniagaan yang seimbang dari sudut ekonomi dan juga sosial,” jelasnya.