BeritaNilai murni benteng terjebak rasuah

Nilai murni benteng terjebak rasuah

SHAH ALAM – Individu yang mempraktikkan nilai-nilai murni dalam kehidupan seharian mampu mengawal diri daripada terjebak rasuah.

Naib Presiden Persatuan Seni Silat Cekak Ustaz Hanafi Malaysia (Silat Cekak Hanafi), Mohamad Rais Abu Noh berkata, nilai-nilai murni seperti amanah, beragama dan bercakap benar menjadi amalan ahli Silat Cekak Hanafi.

Beliau berkata, sama ada orang awam atau ahli Silat Cekak Hanafi tetapi jika masing-masing berusaha menjadi insan baik, nilai murni itu mampu mengawal diri daripada melakukan perbuatan jenayah.

“Sebagai ahli Silat Cekak Hanafi, apabila diijazahkan untuk belajar silat, salah satu perkara dilakukan adalah untuk mempengaruhi niat dengan ucap kalimah tauhid.

“Apabila kuat pegangan tauhid dalam jiwa maknanya kita tidak akan melakukan perkara yang mungkar seperti rasuah,” katanya dalam rakaman Kapsul Rasuah Busters pada Isnin.

Mengulas lanjut, beliau berkata, sekiranya semua ahli masyarakat boleh bersikap sedemikian, gejala rasuah akan hilang dengan sendirinya walaupun ia agak mengambil masa.

Pada masa sama, Mohamad Rais berkata, kegiatan rasuah di negara ini berada di tahap sangat membimbangkan.

Tambahnya, kebelakangan ini terlalu banyak kes rasuah yang melibatkan seluruh segmen masyarakat bukan sahaja kakitangan awam malah, sektor swasta dan individu perseorangan turut terlibat dengan rasuah.

“Indeks Persepsi Rasuah dari tangga ke 51 ke tangga 57. Ini menunjukkan sesuatu perlu dilakukan untuk membasmi gejala tidak sihat ini.

“Sekiranya rasuah tidak diperangi sehabis-habisnya, ia akan menjejaskan reputasi negara di mata masyarakat, membantutkan pembangunan dan melibatkan penyakit sosial.

“Keadaan akan menjadi semakin huru hara dan semakin susah kerana masyarakat di negara ini akan dipenuhi dengan mereka yang tidak berintegriti dan tidak beramanah dalam tugas,” katanya.

Justeru, Mohamad Rais menyokong usaha Sinar Harian melaksanakan kempen Rasuah Busters.

“Saya ucapkan tahniah kepada Sinar Harian dan menyokong kempen Rasuah Busters kerana ia adalah satu bentuk kesedaran kepada masyarakat.

“Diharapkan usaha murni ini dapat dilakukan secara berterusan dengan penglibatan ramai lagi pertubuhan bukan kerajaan (NGO) untuk turut serta,” kata beliau.

Terkini

Artikel Berkaitan

Leave a reply

Please enter your comment!
Please enter your name here