Rasuah: Sedikit-sedikit bisa diatur, lama-lama binasa diamal

0
378

SEBAGAI rakyat Malaysia, saya hanya menzahirkan pandangan saya tentang isu rasuah. Kata ‘bisa diatur’ sering kita kaitkan dengan amalan rasuah di negara Indonesia sehingga ia disebut-sebut di negara kita.

Tatkala kita berbuat demikian, Laporan Indeks Persepsi Rasuah 2020 yang diterbitkan oleh badan Transparency International pula memberi gambaran bahawa amalan rasuah di negara kita semakin meruncing sehingga kita jatuh enam tangga berbanding 180 buah negara yang lain.

Pada tahun 2020, kita berada di tangga 57 berbanding dengan tahun 2019 pada tangga 51. Sekiranya tren indeks ini diperhalusi dari tahun 1995 hingga 2020, maka yang pastinya negara Malaysia tidak pernah menaikkan kedudukannya dalam lingkungan 10 buah negara yang berada di tangga teratas indeks ini.

Persoalannya, mengapakah kita sukar menjejak kaki dalam golongan 10 buah negara teratas yang mengawal serta memastikan amalan rasuah tidak bermaharajalela dalam segala aspek kehidupan kita?

Pada masa yang sama, kita mempunyai pelbagai inisiatif dalam membendung gejaja rasuah ini seperti penggubalan undang-undang dan pemantauan oleh agensi-agensi berkaitan yang menjurus kepada ‘memerangi amalan rasuah’.

Walaupun dengan segala inisiatif dilakukan, tatkala negara dilanda musibah Covid-19, yang pastinya, pandemik rasuah adalah lebih meruncing daripada Covid-19.

Jika gejala rasuah ini tidak dibendung, ia akan bertukar menjadi budaya negatif manakala Covid-19 pula dapat dikawal dengan kehadiran vaksin.

Izinkan saya mengajukan soalan ini kepada anda. Apakah yang boleh dilakukan dengan wang sebanyak RM47 billion?

Pada hakikatnya, jumlah tersebut adalah dana yang dilaporkan hilang akibat amalan rasuah di negara kita pada tahun 2017. Apakah pula jumlah kumulatif kehilangan dana akibat gejala rasuah ini semenjak negara kita merdeka?

Bayangkan bagaimana jumlah ini dapat disalurkan untuk menurap jalan raya, mengurangkan kesesakan di hospital kerajaan, membina rumah kos rendah untuk rakyat miskin, memberi rakyat kemudahan prasarana dan sebagainya.

Jika amalan rasuah ini tidak dibendung, maka kesan riak terhadap kemampuan kita menarik pelabur asing atas alasan hilang kepercayaan dan keyakinan kita mengendalikan sesuatu secara telus sehingga rasuah menjadi budaya ‘bisa diatur’.

Leave a reply

Please enter your comment!
Please enter your name here