berita rasuah bustersDasar kerajaan beri ruang lakukan rasuah

Dasar kerajaan beri ruang lakukan rasuah

IPOH – Dasar kerajaan yang memberikan bantuan secara membuta tuli antara punca rasuah menular dalam kalangan masyarakat khususnya orang Melayu.

Presiden Dewan Perhimpunan Melayu Perak (DPMP), Datuk Zahar Hashim berkata, habuan diberikan dalam bentuk bantuan adalah semata-mata untuk mendapatkan sokongan rakyat.

Menurutnya, perbuatan itu disebabkan sikap sebilangan orang Melayu yang mahukan sesuatu secara mudah tanpa berusaha, mahu cepat kaya dan dihormati kerana harta.

“Kerajaan sepatutnya memberikan ‘pancing’ kepada rakyat untuk mereka berusaha, bukan beri ‘ikan’ untuk terus mereka makan. Disebabkan itu, rasuah dalam kalangan orang Melayu sudah menjadi begitu parah dan boleh dianggap seperti tidak boleh dipisahkan lagi.

“Masyarakat sendiri sudah tidak memandang jijik kepada rasuah kerana mereka nampak ia merupakan perkara biasa atau norma baharu,” katanya di sini baru-baru ini.

Zahar berkata, kegagalan kerajaan membendung gejala itu disebabkan Akta Rasuah tidak diperkasakan apabila kebanyakan yang dikenakan tindakan merupakan penerima rasuah sedangkan pemberi rasuah terlepas dan bebas.

Selain itu, katanya, Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) sepatutnya menjadi badan bebas yang tidak dikawal oleh ahli politik dan diletakkan terus di bawah Yang di-Pertuan Agong.

Sementara itu, katanya, beliau melihat masih ada ruang untuk kegiatan rasuah berkenaan dibendung iaitu melalui pendidikan dengan silibus khas diperkenalkan seawal tadika sehinggalah ke universiti.

“Selain itu, usaha membendung kegiatan rasuah ini adalah dengan memperkasa dan menanamkan sifat jati diri dalam kalangan Melayu juga melalui pendidikan.

“Ini bertujuan agar orang Melayu mempunyai sifat dan sikap mulia di samping menyayangi sesama bangsa serta saling bantu-membantu dalam aspek kehidupan mahupun ekonomi,” katanya.

Jelas Zahar, apabila orang Melayu mempunyai jati diri yang kuat, mereka akan dipandang hebat dan mulia serta kebal daripada segala unsur negatif seperti rasuah dan dadah.

Terkini

Artikel Berkaitan

Leave a reply

Please enter your comment!
Please enter your name here