berita rasuah bustersKempen ‘Mak Kata Jangan’ libatkan tokoh wanita bergelar ibu

Kempen ‘Mak Kata Jangan’ libatkan tokoh wanita bergelar ibu

SHAH ALAM – Kempen Rasuah Busters yang digerakkan Sinar Harian akan terus diperhebatkan lagi dengan penglibatan tokoh wanita bergelar ibu dalam usaha mempertingkatkan kesedaran masyarakat terhadap jenayah rasuah.

Pengerusi Kumpulan Karangkraf, Datuk Dr Hussamuddin Yaacub berkata, penglibatan kumpulan tersebut dilakukan melalui penganjuran wacana dan program yang akan berbicara mengenai cara untuk mengembalikan nilai moral masyarakat Malaysia.

Katanya, usaha tersebut merupakan sebahagian daripada pelbagai inisiatif yang diadakan bersempena tema baharu kempen Rasuah Busters iaitu ‘Mak Kata Jangan’.

“Bulan Mac ini sempena Hari Wanita, kita akan adakan banyak wacana dan program yang melibatkan tokoh ibu supaya mereka ini bercakap kepada masyarakat tentang bagaimana kita nak kembalikan nilai moral kita,” katanya kepada Sinar Harian.

Pada 16 Januari lalu, Hussamuddin melancarkan kempen atau gerakan yang dinamakan sebagai Sinar Untuk Malaysia #NilaiMoralKarakterBangsa bagi membanteras gejala rasuah dan membina semula negara.

Untuk meneruskan lagi kesinambungan kempen tersebut, pada Isnin, Hussamuddin telah melancarkan kempen dengan slogan ‘Mak Kata Jangan’ sebagai sebahagian daripada strategi memperhebatkan lagi misi Rasuah Busters.

Menurutnya, pelancaran slogan terbaharu itu juga menandakan fasa baharu dalam kempen yang dijalankan bagi membendung amalan rasuah dalam kalangan rakyat Malaysia.

Hussamuddin berkata, beliau yakin bahawa golongan ibu tidak kira apapun bangsa mahupun agama mereka mempunyai peranan yang cukup besar dalam memelihara dan memperbaiki nilai dan karakter seseorang anak.

“Maknanya kita akan gunakan slogan ‘Mak Kata Jangan’ ini kerana kita merasakan untuk mengeluarkan sikap-sikap buruk ini, hanya mak yang boleh lakukan.

“Jadi sekarang kita nak pindahkan kerja-kerja membetulkan akhlak anak-anak (kepada ibu). Ini akan melibatkan semua golongan bukan sahaja golongan muda kerana orang dewasa ini mereka pun ada mak.

“Kita nak memperkasakan peranan emak supaya gunakan kuasa ‘Mak Kata Jangan’ untuk memperingatkan anak mereka jangan menipu, jangan berbohong dan jangan ambil rasuah,” katanya.

Hussamuddin berkata, kempen terbaharu di dalam Rasuah Busters itu terbuka untuk disertai oleh semua golongan tidak kira yang muda mahupun tua mengikut kreativiti dan kapasiti masing-masing.

“Sebagai contoh, kita akan keluarkan banyak poster dan sticker yang mana daripada situ mereka boleh ubah suai sendiri seperti letakkan gambar mak masing-masing jadi sticker dengan slogan ‘Mak Kata Jangan’.

“Jadi maknanya kita nak supaya orang gunakan ikon mak itu sebagai cara nak cuci minda dan hati,” kata beliau lagi.

Pada masa sama, Hussamuddin berkata, beliau bersyukur kerana kempen kesedaran Rasuah Busters yang telah digerakkan lebih sebulan itu telah mendapat sokongan amat kuat daripada pelbagai golongan dan lapisan kaum.

Terkini

Artikel Berkaitan

Leave a reply

Please enter your comment!
Please enter your name here