berita rasuah bustersBekas kakitangan MPT dipenjara, denda cuba rasuah polis

Bekas kakitangan MPT dipenjara, denda cuba rasuah polis

IPOH – Bekas kakitangan Majlis Perbandaran Taiping (MPT) dijatuhi hukuman penjara sembilan bulan dan denda RM10,000 oleh Mahkamah Sesyen Ipoh pada Khamis atas kesalahan memberi suapan kepada seorang anggota polis, Julai tahun lalu.

R Lingeswaren, 38, yang bertugas sebagai pekerja rendah awam di bahagian kejuruteraan MPT membuat pengakuan bersalah selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim, S Indra Nehru.

Mahkamah turut memerintahkan tertuduh dikenakan penjara dua minggu, sekiranya gagal membayar denda berkenaan.

Mengikut pertuduhan, Lingeswaren didakwa secara rasuah telah memberi suatu suapan wang tunai berjumlah RM350 kepada seorang ejen kerajaan iaitu Sarjan Som Nek Euat yang bertugas di bahagian Penguatkuasaan Trafik Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Taiping.

Suapan itu sebagai dorongan agar tertuduh tidak dikenakan tindakan undang-undang atas kesalahan menghalang tugas penjawat awam yang menjalankan pemeriksaan terhadap diri tertuduh.

Kesalahan itu dilakukan di sekitar Jalan Tupai, Taiping pada jam lebih kurang 9.20 malam pada 13 Julai 2020.

Pendakwaan ke atas tertuduh dibuat mengikut Seksyen 17 (b) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia 2009 dan boleh dihukum di bawah Seksyen 24 (1) akta sama yang memperuntukkan hukuman penjara tidak lebih 20 tahun dan denda tidak kurang lima kali ganda nilai suapan atau RM10,000 mengikut mana-mana lebih tinggi.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Nurul Wahida Jalaluddin manakala tertuduh yang telah berkahwin dan mempunyai dua anak tidak diwakili peguam.

Terkini

Artikel Berkaitan

Leave a reply

Please enter your comment!
Please enter your name here