Gelombang suara lantang tolak rasuah

0
415

SHAH ALAM – Program Malaysia 100 Juta Langkah Menentang Rasuah yang disertai 10,000 peserta diharap menjadi satu gelombang suara yang lantang untuk menolak jenayah tersebut.

Menurut Ketua Pegawai Eksekutif Checkpoint Spot Sdn Bhd (Checkpoint Spot), Benjamin Yeow, peserta juga diharap dapat menanam pemikiran antirasuah dalam minda mereka setiap hari bukan ketika melalui program itu sahaja.

“Saya harap dengan mengambil langkah pertama menyertai program ini, peserta dapat memupuk diri untuk sebarkan mesej antirasuah setiap masa,” katanya kepada Sinar Harian pada Selasa.

Program tersebut digerakkan oleh Checkpoint Spot yang merupakan sebuah syarikat penyedia teknologi sukan terkemuka dengan kerjasama Pasukan #Rasuah Busters bermula 12 April hingga 30 Jun 2021.

Benjamin berkata, penyertaan bagi program itu kini sudah mencecah seramai 3,200 peserta.

“Ini menjadikan jumlah langkah yang terkumpul setakat ini ialah 85 juta, kurang 15 juta lagi,” katanya.

Mengulas lanjut, Benjamin berkata, semasa pendaftaran, peserta perlu berikrar sumbangan langkah mereka iaitu 10,000 langkah (sijil ikrar gangsa), 20,000 langkah (sijil ikrar perak) dan 50,000 langkah (sijil ikrar emas).

“Setakat ini, seramai 1,950 peserta telah berikrar bagi 50,000 langkah, 350 peserta berikrar untuk 20,000 langkah manakala seramai 900 peserta berikrar untuk 10,000 langkah,” jelas beliau.

Tambahnya, setelah mendaftar, peserta boleh mengajak orang ramai untuk mendaftar melalui pautan rujukan masing-masing.

“Menariknya ialah semangat yang ditunjukkan oleh seorang guru dari Sarawak yang berjaya memujuk seramai 713 peserta untuk menyertai program ini,” katanya.

Menurut beliau, setiap peserta akan menerima sijil penyertaan dengan jumlah langkah yang disumbangkan dan pemenang cabutan bertuah akan diumumkan secara langsung di Facebook setelah program berakhir.

Sehubungan itu, seluruh rakyat Malaysia dijemput untuk sama-sama mengikuti program itu di mana pendaftaran boleh dibuat di https://cps4.me/100juta.

Leave a reply

Please enter your comment!
Please enter your name here