Lambakan kes rasuah tertangguh

0
464

SHAH ALAM – Pemberi rasuah wajar dikenakan hukuman setimpal sekiranya terbukti bersalah dalam kegiatan tersebut.

Pensyarah Kanan, Fakulti Sains Pentadbiran dan Pengajian Polisi Universiti Teknologi Mara, Zurina Md Nen berkata, sehingga kini jarang kelihatan pemberi rasuah dihukum dalam kes berkaitan.

Menurutnya, pelaksanaan undang-undang di negara ini perlu ditambah baik walaupun pelbagai akta memerangi rasuah telah ditubuhkan seawal tahun 1950 kerana ia sering dipersoalkan.

“Lambakan kes rasuah masih tertangguh hukumannya, tempoh masa agak lama untuk disabitkan kesalahan dan dijatuhkan hukuman. Kes-kes rasuah yang dikaitkan dengan pelbagai polemik adalah antara yang menyumbang kepada isu ketidakberkesanan pelaksanaan undang-undang dalam memerangi rasuah.

“Kedua-dua pemberi dan penerima rasuah adalah pengkhianat dan wajar dihukum. Pengkhianatan mereka bukan sahaja menyebabkan negara rugi dari segi aspek material (hasil negara hilang jutaan ringgit), bahkan membuktikan kelompongan moral.

“Oleh itu, tindakan lebih berkesan pemberi dan penerima rasuah dihukum adalah sangat diperlukan,” katanya kepada Sinar Harian.

Mengulas lanjut, Zurina berkata, undang-undang yang berkesan ialah pelaksanaan itu perlu berlaku secara efektif dan dikuasakan tanpa sebarang pengaruh serta campur tangan mana-mana pihak atau kepentingan peribadi.

Selain itu, tambahnya, kepentingan proses mendidik masyarakat untuk menjadikan rasuah sebagai satu jenayah amat penting pada masa kini.

Ujarnya, proses tersebut bukan hanya berlaku di sekolah atau di universiti, malah melibatkan semua institusi masyarakat secara keseluruhan.

Zarina turut menyifatkan inisiatif Sinar Harian dalam mewujudkan gerakan masyarakat dalam membendung gejala tersebut adalah satu inisiatif yang baik dan wajar dipuji.

“Sinar Harian boleh mewakili suara media yang mempunyai peranan penting dalam proses sosialisasi untuk mendidik masyarakat dalam memahami, norma, harapan, sistem nilai yang penting demi mewujudkan masyarakat dan negara yang bebas rasuah,” katanya.

Leave a reply

Please enter your comment!
Please enter your name here