Peranan media lapor kes rasuah

0
408

SHAH ALAM – Media berperanan sebagai medium penting dalam memberi kesedaran kepada masyarakat dan menjadikan budaya rasuah itu sebagai musuh nombor satu negara.

Ketua Pegawai Eksekutif TV Alhijrah, Namanzee Harris berkata, media massa perlu menjalankan tugas dalam memberi penekanan kepada sebarang kempen atau kes yang berkaitan dengan rasuah.

“Kalau ada buat laporan-laporan khas (berkaitan rasuah), itu perlu kita beri perhatian. Perlunya kita bagi penekanan pada kempen-kempen mengapa kita perlu bantah rasuah.

“Dulu saya ingat lagi kita ada satu kempen yang sangat berkesan iaitu ‘Dadah Musuh No 1 Negara’,” katanya kepada Sinar Harian.

Menurutnya, pelbagai kempen perlu dilakukan secara besar-besaran dengan mengangkat tema itu sekali gus mendapat liputan meluas daripada media.

Justeru, Namanzee mencadangkan agar kempen yang sama perlu dilakukan terhadap isu rasuah.

“Barangkali sekarang ini musuh nombor satu negara adalah rasuah. Jadi kempen-kempen kesedaran yang dibuat itu (boleh dilakukan) secara besar-besaran.

“Radio, televisyen dan papan tanda iklan, kita tahu apabila ada iklan (kesedaran rasuah) itu, kita tahu ia adalah perkara yang tidak boleh diambil enteng. Jadi semua orang tahu secara jelas,” ujar beliau.

Mengulas lanjut, Namanzee berkata, sebuah perubahan drastik perlu dilakukan seperti mana gerakan Rasuah Busters yang menjadi seruan kepada semua peringkat.

“Saya merasakan secara peribadi perlunya perubahan drastik dan apabila ada seruan Rasuah Busters, ia merupakan satu panggilan untuk semua, baik di peringkat peribadi atau pentadbiran dari syarikat swasta mahu pun peringkat kerajaan.

“Saya yakin dengan gerakan ini. Pertama, ia melibatkan semua peringkat termasuk cendekiawan, rakyat di semua peringkat, agensi dan syarikat-syarikat swasta.

“Semua ada matlamat yang sama. Kita hendak melalui kualiti hidup yang baik,” katanya.

Jelasnya, inisiatif itu boleh dikembangkan lagi dengan cara menerima kemasukan ahli intelektual dan ahli politik untuk bersama-sama menyokong matlamat tersebut.

“Insya-ALLAH kita akan dapat melahirkan generasi dan tenaga kerja yang sangat berkualiti dan bersih daripada amalan rasuah,” kata beliau lagi.

Leave a reply

Please enter your comment!
Please enter your name here