Rasuah politik ibu kepada segala rasuah: Abu Kassim

0
555

SHAH ALAM – Kawalan terhadap dana dan sumbangan politik merupakan antara perkara penting yang perlu diambil kira dalam usaha untuk negara memerangi rasuah.

Bekas Ketua Pengarah Pusat Governans, Integriti dan Anti-Rasuah (GIACC), Tan Sri Abu Kassim Mohamed berkata, elemen dana dan sumbangan politik perlu dikawal dengan lebih efektif serta merangkumi perspektif yang lebih meluas.

Menurutnya, selain daripada dana pilihan raya, penggunaan dana ketika pemilihan di dalam parti-parti politik negara juga perlu melalui proses pemantauan yang lebih telus.

“Pada saya, rasuah politik merupakan ibu kepada segala rasuah kerana ia memberikan impak yang sangat besar kepada negara dan kerajaan.

“Penting untuk dijelaskan bahawa dana politik bukan hanya ketika kempen pilihan raya umum tetapi ia juga berlaku ketika pemilihan dalaman parti politik,” katanya ketika menjadi panel pada program webinar bertajuk ‘Corruption in Malaysia: Who Will Bell The Cat?’ pada Rabu.

Program yang dianjurkan oleh Institute of Public Policy and Management, Universiti Malaya itu dimoderatorkan oleh Pakar Ekonomi, Dr Nungsari Ahmad Radhi dan turut disertai oleh Ketua Pakar Sektor Awam World Bank Malaysia, Rajni Bajpai dan Bekas Ketua Perangkawan Negara, Datuk Ramesh Chander.

Abu Kassim berkata, pengalaman beliau selama 36 tahun terlibat dalam usaha memerangi rasuah menunjukkan bahawa pemilihan dalaman parti merupakan antara perkara perlu dirisaukan oleh pihak yang mahu menangani isu rasuah dalam politik.

“Pada satu ketika, ada seorang ahli politik yang memberitahu saya bahawa untuk menjadi ketua di peringkat bahagian (pemilihan parti), seseorang memerlukan sekurang-kurangnya RM1 juta.

“Itu di peringkat yang rendah, bagaimana pula dengan jawatan yang lebih tinggi?

“Jadi kita harus mengawal dana dan sumbangan politik dalam perspektif yang lebih meluas,” katanya yang merupakan bekas Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).

Untuk merealisasikan perkara tersebut, Abu Kassim berkata, beliau berharap supaya Akta Dana Politik yang telah diserahkan kepada kerajaan ketika beliau menjadi Ketua Pengarah GIACC dapat disiapkan untuk diluluskan oleh Parlimen.

Tambah beliau, usaha memerangi rasuah bukan hanya terletak kepada SPRM semata-mata, tetapi sebaliknya ia memerlukan penglibatan bersepadu kesemua pihak daripada pelbagai sektor dan golongan di dalam negara.

Sementara itu, Bajpai berkata, selain daripada penguatkuasaan dan pengenalan polisi yang lebih efektif oleh pihak berkuasa, aspek pendidikan juga perlu diberikan penekanan sekiranya Malaysia mahu membendung gejala rasuah dengan lebih baik.

“Dalam isu ini, saya lebih menekankan kepada pencegahan berbanding pendakwaan. Tentunya pendakwaan adalah lebih penting untuk menunjukkan bahawa pesalah rasuah akan dibawa ke muka pengadilan.

“Tetapi untuk membuang rasuah yang lebih bersifat sistematik, ia patut bermula bukan sahaja daripada universiti, tetapi juga di peringkat sekolah. Nilai yang betul perlu diintegrasikan ke dalam diri individu sejak daripada awal usia,” katanya.

Dalam pada itu, Ramesh berkata, rakyat juga perlu memainkan peranan untuk memberikan tekanan yang lebih signifikan kepada pihak berkuasa dalam usaha untuk membebaskan negara daripada amalan rasuah.

Katanya, gerakan pembanterasan rasuah oleh rakyat perlu menjadikan pertubuhan bukan kerajaan, Bersih yang bergerak di arena politik sebagai contoh dalam menggerakkan kempen yang dijalankan.

Leave a reply

Please enter your comment!
Please enter your name here