berita rasuah bustersSi pelaku ‘pesakit mental’

Si pelaku ‘pesakit mental’

HILANGNYA nilai integriti dalam disiplin psikologi pada pelaku rasuah boleh dikategorikan sebagai ‘pesakit mental’ yang mengalami kecelaruan minda.

Pengerusi Makmal Media Sosial Kebangsaan (Meso), Dr Kamarulzzaman Ahmad berkata, integriti ialah dimensi moral yang wujud secara intrinsik, manakala rasuah pula berlaku apabila hilangnya amanah dalam diri pelaku.

Menurutnya, antara faktor yang mendorong rasuah adalah monopoli politik dan ekonomi yang tinggi, birokrasi yang rumit, komitmen masyarakat yang rendah, tahap pendidikan yang lemah, kemiskinan serta tamak.

“Robert Klitgaard, seorang profesor ekonomi Amerika yang membuat kajian rasuah dalam bukunya berjudul Controlling Corruption (1988) menulis, rasuah akan berlaku apabila habuan yang diperoleh si perasuah lebih tinggi daripada jumlah denda serta kemungkinan dia ditangkap dan dihukum.

“Jumlah rasuah bergantung pada tiga pemboleh ubah iaitu monopoli terhadap pembekalan barangan atau perkhidmatan, rundingan langsung yang dinikmati pembekal dan akauntabiliti serta kebertanggungjawaban pembekal.

“Namun semua itu tidak menyebabkan rasuah terjadi secara automatik sebaliknya ia terjadi apabila hilangnya integriti,” katanya.

Kamarulzzaman berkata, integriti dan etika adalah dua elemen berbeza meskipun ia saling berkait rapat.

“Etika mempunyai dimensi sosial yang boleh dilihat secara jelas, manakala integriti pula dikenali melalui kejujuran dalam melakukan perkara yang benar. “Gejala rasuah sukar dibendung apabila penerima dan pemberi sentiasa berpakat untuk melakukan jenayah tersebut ketika tidak ada mata lain yang melihat.

“Integriti dipelajari secara formal dan tidak formal. Undang-undang yang keras tidak mampu mengurangkan rasuah secara berkesan sekiranya nilai integriti individu tidak disemai dan diangkat sebagai nilai hidup masyarakat,” katanya.

Tegasnya, pengukuhan nilai integriti melalui pendidikan yang berterusan dapat membentuk persepsi, tingkah laku dan tabiat yang benar.

“Inilah cabaran utama yang perlu ditangani bersama oleh kita semua demi membina sebuah masyarakat yang berintegriti,” katanya.

Kamarulzzaman berkata, rasuah sistemik berlaku disebabkan kelemahan dalam sistem pengurusan dan kepimpinan sesebuah organisasi terutama entiti pemerintahan.

“Rasuah berlaku dari skala kecil ketika pegawai-pegawai kerajaan berurusan dengan orang awam atau penguatkuasaan dan sebagainya, manakala rasuah besar pula berlaku di peringkat pentadbiran atasan.

“Rasuah sistemik yang dilakukan secara berjemaah memberi kesan kepada masyarakat dan sering terjadi di negara-negara yang berada di bawah rejim pemerintahan kleptokrat, oligarki dan mafia,” jelasnya.

Beliau berkata lagi, rasuah membawa kesan negatif secara langsung dan tidak langsung kepada setiap anggota masyarakat dan pelakunya.

“Ia mengakibatkan kebocoran dan penyimpangan dana pembangunan awam serta mendorong orang awam untuk tidak membayar cukai, sekali gus mengurangkan hasil kutipan negara.

“Pada tahun 2018, Setiausaha Agung Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB), Antonio Guterres menyatakan dunia mengalami rugi sebanyak AS$3.6 trilion setahun akibat rasuah.

“Bayangkan berapa banyak sekolah, hospital, jalan raya, saliran air, elektrik dan capaian internet yang boleh dibina di seluruh dunia dengan wang sebesar itu,” katanya.

Terkini

Artikel Berkaitan

Leave a reply

Please enter your comment!
Please enter your name here