SPRM perlu agresif banteras rasuah

0
361

SHAH ALAM – Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) perlu bertindak lebih agresif untuk memastikan perbuatan rasuah dalam kalangan pekerja sektor awam dan swasta dibendung sepenuhnya.

Ahli Parlimen Belia Malaysia Negeri Pahang, Adi Harith Mohd Tahir berkata, jenayah rasuah dalam sektor awam khususnya anggota penguat kuasa terus berleluasa, malah lebih menyedihkan ia berlaku dalam negara Islam.

Selain itu, katanya, terdapat juga golongan anak muda yang sanggup mengambil rasuah daripada pihak tertentu demi mendapatkan kekayaan serta kemewahan dalam waktu singkat.

“Apabila isu rasuah semakin berleluasa di negara ini, mereka yang kaya terus menjadi kaya, yang miskin semakin miskin, lebih-lebih lagi dalam pandemik Covid-19.

“Agenda mereformasikan dasar negara dan struktur pentadbiran juga terhalang oleh kerana mempunyai pemimpin negara yang dibelenggu dengan aktiviti rasuah demi jawatan mereka,” katanya ketika dihubungi Sinar Harian pada Khamis.

Adi Harith berkata, kebanyakan negara yang mengamalkan aktiviti rasuah akan menyebabkan kecenderungan kepada kejatuhan ekonomi disebabkan berlakunya penyelewengan kewangan.

Tambah beliau, rasuah melalui penyelewengan jawatan juga menunjukkan sikap pemimpin yang tidak berkualiti dalam tampuk pemerintahan kerajaan di sesebuah negara.

“Kelemahan dari aspek kepimpinan pengurusan organisasi yang tidak cekap dan lemah akan menyebabkan kurangnya penyeliaan serta pemantauan terhadap pekerja.

“Hal ini akan mendorong amalan rasuah berlaku secara berleluasa dalam sesebuah organisasi,” ujarnya.

Pada masa sama, beliau berkata, rakyat Malaysia perlu berganding bahu dalam memastikan kadar kes rasuah semakin rendah bagi membolehkan ekonomi negara terus pesat serta berada sebaris dengan negara maju.

Leave a reply

Please enter your comment!
Please enter your name here