Syarikat korporat perlu ambil peranan henti budaya rasuah

0
451

KUALA SELANGOR – Syarikat korporat di negara ini diminta mengambil peranan dan tanggungjawab dalam menangani budaya rasuah dalam organisasi masing-masing.

Ketua Sekretariat Rasuah Busters, Nurhayati Nordin berkata, pelbagai program boleh dilaksanakan sektor korporat bagi menyampaikan mesej benci rasuah yang bermula daripada diri sendiri, keluarga, komuniti dan syarikat.

“Kita mesti hentikan gejala rasuah ini dengan segera kerana bukan sahaja dalam kalangan penjawat awam dan orang awam, tetapi badan korporat juga perlu mengambil peranan untuk menghentikan budaya rasuah daripada terus berleluasa,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui Sinar Harian selepas Taklimat Kesedaran Rasuah kepada kakitangan Lebuhraya Kuala Lumpur-Kuala Selangor (LATAR) di Kompleks Operasi LATAR, Bestari Jaya, di sini pada Jumaat.

Mengulas mengenai taklimat itu, Nurhayati berkata, pihaknya telah diundang LATAR bagi menyampaikan taklimat perkongsian tentang kempen kesedaran rasuah yang digerakkan Rasuah Busters secara besar-besaran.

“Pihak LATAR sebagai sebuah badan korporat bersama-sama mendukung misi Rasuah Busters dengan mengadakan sesi taklimat ini.

“Hari ini kira-kira 70 kakitangan LATAR hadir untuk bersama-sama berkongsi misi Rasuah Busters bagi mencegah budaya rasuah di peringkat keluarga dan masyarakat,” ujarnya.

Justeru, katanya, inisiatif baik itu perlu diteruskan melalui pelbagai program lain bagi membawa nilai moral karakter bangsa seterusnya menghasilkan sebuah sistem masyarakat yang baik di negara ini.

“LATAR sebelum ini pernah mengadakan pertemuan di Kumpulan Media Karangkraf dan pada hari ini (Jumaat) sesi (taklimat) diadakan di (Kompleks) LATAR.

“Ini menunjukkan LATAR serius tidak mahu kakitangan mereka terlibat dalam budaya rasuah,” jelasnya.

Sementara itu, Ketua Jabatan Operasi Tol LATAR, Rozaiman Ali berkata, pihaknya amat menyambut baik usaha dilakukan Rasuah Busters dalam menangani wabak rasuah di semua peringkat.

Katanya, usaha menangani budaya rasuah amat penting terutama dalam usaha pembangunan negara.

“Apabila adanya rasuah ia berkait dengan peningkatan kos dan ini sudah tentu membabitkan ramai pihak.

“Apa yang lebih penting, budaya ini mesti kita cegah agar tidak membawa barah dalam masyarakat,” ujarnya.

Leave a reply

Please enter your comment!
Please enter your name here