berita rasuah busters'Jangan biar ikan bilis sahaja terkena'

‘Jangan biar ikan bilis sahaja terkena’

SHAH ALAM – Semua pihak termasuk pemimpin-pemimpin tertinggi di dalam jabatan kerajaan perlu disabitkan kesalahan sekiranya berlaku amalan rasuah.

Presiden Kongres Kesatuan Pekerja-Pekerja Dalam Badan Awam (Cuepacs), Adnan Mat berkata, pihak berkuasa tidak seharusnya membiarkan ikan jerung terlepas dan ikan bilis sahaja yang terkena.

Menurutnya, kuasa di sesebuah jabatan kerajaan bukan hanya perlu diberikan pengukuhan dan disertakan dengan peringatan berkaitan bahaya rasuah yang sangat besar, malah penyandangnya tidak akan terlepas sekiranya berlaku isu rasuah di jabatan masing-masing.

“Jika berlakunya kes rasuah di dalam jabatan kerajaan, jangan jadi seperti sarang labah-labah. Kena serangga kecil, ia akan sangkut tetapi kalau kena dekat gajah, dengan sarang-sarang pun dibawa lari.

“Kami di Cuepacs mahu melihat semua yang terlibat dengan kes rasuah dikenakan tindakan. Tiada yang terlepas biarpun dia itu seorang Ketua Setiausaha (KSU) atau sebagainya, termasuk ahli politik yang memberi arahan kepada KSU,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika menjadi panel forum bertajuk ‘Antara Ketelusan dan Ketirisan: Peruntukan Salah Laku Dalam Badan Awam secara maya anjuran Transparency International Malaysia (TI-M) dengan kerjasama Malaysia Reform Initiative (Mari), US Agency for International Development (USAID), Kedutaan Amerika Syarikat di Kuala Lumpur, Sinar Harian dan Rasuah Busters.

Adnan berkata, juruaudit dalaman dan luar di sesebuah jabatan kerajaan juga perlu memantau sepenuhnya tender-tender dikeluarkan, selain petugas yang menguruskannya.

Katanya, prosedur operasi standard (SOP) sememangnya telah ditetapkan oleh jabatan masing-masing dan perlu dipatuhi, selain tatacara diperkemaskan supaya tidak diambil kesempatan oleh pihak yang tamak haloba.

Tegasnya, sebuah sistem tatacara utuh pastinya tidak akan boleh ditembusi bagi mewujudkan elemen rasuah atau ketirisan, selain penguatkuasaan diperketatkan.

“Selain itu, jawatan-jawatan sensitif di dalam jabatan kerajaan perlu diberikan pemahaman bahawa mereka boleh berhadapan dengan proses pertukaran. Ini untuk mengelak mereka berada terlalu lama di satu-satu kawasan dan terdedah dengan gejala rasuah,” katanya.

Menurutnya, penjawat awam yang ditangkap dengan kes rasuah adalah 46 peratus, berbanding pihak-pihak lain sebanyak 54 peratus.

Katanya, kes penangkapan penjawat awam melibatkan kes rasuah sememangnya akan memberi imej buruk kepada kerajaan, namun Cuepacs sama sekali tidak akan mempertahankan pesalah.

“Saya sebenarnya tidak selesa untuk berada forum seperti ini kerana ia membuka pekung atau hal rumahtangga sendiri. Namun penting untuk Cuepacs tampil bersama-sama membantu membanteras isu rasuah.

“Bukan sekadar mencari kesalahan tetapi mendidik serta mengingatkan semua pihak terutama ketua-ketua jabatan untuk menunjuk tauladan baik kepada anak buah,” katanya.

Terkini

Artikel Berkaitan

Leave a reply

Please enter your comment!
Please enter your name here