SPA tidak kompromi isu rasuah dalam kalangan penjawat awam

0
412

GEORGETOWN – “Berani buat, berani tanggung”, demikian ditegaskan oleh Pengerusi Suruhanjaya Perkhidmatan Awam (SPA), Tan Sri Zainal Rahim Seman berhubung pembabitan penjawat awam dalam gejala rasuah.

Zainal Rahim berkata, pihaknya tidak pernah sama sekali berkompromi dalam isu yang berhubung kait dengan pelakuan rasuah, pelanggaran peraturan atau undang-undang melibatkan penjawat awam.

Beliau berkata, SPA sentiasa memandang serius isu berhubung penjawat awam menyalahi undang-undang terutama soal amalan rasuah walaupun jumlah mereka yang terbabit dalam kegiatan tersebut adalah kecil.

Zainal Rahim berkata, pihaknya akan mengambil tindakan tegas termasuklah penamatan perkhidmatan terhadap mereka yang didapati terbabit dalam jenayah, gejala rasuah, serta salah laku yang serius dan berulang.

Beliau berkata demikian kepada Bernama pada Khamis ketika mengulas penahanan 44 individu termasuk 32 pegawai Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) disyaki terbabit dengan sindiket melindungi kegiatan pengusaha lori yang melanggar pelbagai kesalahan di Kedah, Perak, Pulau Pinang, Melaka dan Perlis.

Penahanan itu dilakukan melalui Operasi Sukat digerakkan oleh Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) sejak beberapa hari lalu.

Zainal Rahim berkata, penapisan ketat dilakukan terhadap calon penjawat awam dan selepas pelantikan, mereka wajib menghadiri pelbagai kursus yang menekankan pelbagai perkara berkaitan kerja serta jati diri termasuk hal rasuah dan salah guna kuasa.

Beliau berkata, seseorang penjawat awam telah diamanahkan kuasa dan tanggungjawab serta perlu bertindak secara telus dengan mematuhi proses atau prosedur undang-undang ditetapkan.

“Mereka harus memahami tanggungjawab dan perlu tahu jika buat kesalahan akan dikenakan tindakan tatatertib malah dibuang kerja.

“Sebenarnya kalau mereka sanggup buat (terima rasuah) dan beranilah tanggung hukuman iaitu dibuang kerja,” katanya. – Bernama

Leave a reply

Please enter your comment!
Please enter your name here