berita rasuah bustersSPRM sambut baik kempen Rasuah Busters Sinar Harian

SPRM sambut baik kempen Rasuah Busters Sinar Harian

PUTRAJAYA – Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) menyambut baik usaha dilaksanakan Sinar Harian dalam menggerakkan kempen Rasuah Busters.

Ketua Pesuruhjaya SPRM, Datuk Seri Azam Bakri berkata, beliau yakin pelaksanaan itu dibuat atas keprihatinan untuk bersama-sama memerangi rasuah di negara ini.

“Usaha-usaha seperti dilakukan akhbar Sinar Harian yang menubuhkan Sinar Rasuah Busters dalam mengajak masyarakat mendukung hasrat memerangi rasuah di negara ini amatlah dialu-alukan.

“Kerjasama ini perlu diteruskan berdasarkan kesefahaman dan atas kesedaran bahawa ini adalah tanggungjawab kita semua,” katanya ketika berucap sempena Program Luncheon Talk bersama Pengarang Media Bahasa Melayu, di sini pada Rabu.

Pada 16 Januari lalu, Pengerusi Lembaga Pengarah Kumpulan Karangkraf, Datuk Dr Hussamuddin Yaacub melancarkan kempen atau gerakan yang dinamakan sebagai Sinar Untuk Malaysia #NilaiMoralKarakterBangsa bagi membanteras gejala rasuah dan membina semula negara.

Ia merupakan satu gerakan reformasi moral daripada rakyat untuk rakyat dan negara, tanpa sebarang agenda politik.

Dalam masa sama beliau turut berbesar hati dengan laporan-laporan media lain berkaitan syor-syor penambahbaikan oleh SPRM secara berkala serta berita-berita berkaitan SPRM.

Bagaimanapun tegasnya, dalam mendedahkan sesuatu isu berkaitan siasatan, faktor sensitiviti, undang-undang dan kerahsiaan perlu diambil kira.

“Jadi kedua-dua pihak antara media dan SPRM perlu memahami dalam hal ini. Oleh sebab itu, kerjasama, kefahaman dan hala tuju yang seiring antara media dan SPRM amat penting sekali,” katanya.

Sementara itu beliau berkata, SPRM bercadang untuk memberikan pengiktirafan kepada pengamal-pengamal media menerusi Malam Anugerah Media SPRM.

Katanya, antara anugerah yang dicadangkan ialah Laporan Berita Media Cetak Terbaik dan Laporan Berita Media Elektronik Terbaik.

“Tujuan pengiktirafan ini, selain daripada tanda terima kasih, ia juga sebagai pemangkin kepada pihak media untuk terus melaporkan usaha-usaha pencegahan rasuah oleh SPRM,” katanya.

ARTIKEL BERKAITAN: Gagasan membangun nilai: Dari rakyat demi rakyat

Terkini

Artikel Berkaitan

Leave a reply

Please enter your comment!
Please enter your name here